Salasilah Silat

Sejarah Silat Cekak

Salahsilah perguruan Silat Cekak Ustaz Hanafi diketahui melalui kaedah penyampaian dari mulut ke mulut guru. Namun begitu, tidak pernah diketahui siapakah yang mula-mula mencipta silat ini . Sama ada ia dicipta oleh seorang guru ataupun melalui permuafakatan dikalangan beberapa orang guru. Melalui cirri-ciri pembelajarannya adalah dipercayai bahawa silat ini wujud selepas kedatangan islam dan penciptanya memang seorang yang pakar dalam bidang persilatan .


Yahya Bin Said

Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad

Era moden silat ini hanya bermula apabila Allayarham Ustaz Hanafi Hj Ahmad, bercita-cita memelihara silat ini, setelah didapati kualiti silat ini begitu unggul. Beliau tidak rela silat ini pupus dialam masa ini. Ustaz Hanafi menerima ijazah silat ini daripada Yahya bin Said (Pak Yah) pada 28 Disember 1965 bersamaan 5 Ramadan 1385. Pada masa itu, Pak Yah tidak memberitahu nama sebenar silat ini, dan silat ini digerakkan dibawah jentera seksi persilatan Perkumpulan Seni Sari Budaya Seri Kedah (PSSBSK). Ustaz sendiri menjadi ketua seksinya.

Selepas mandi penamat kelas tersebut dijalankan, Pak Yah telah bertanya kepada Ustaz Hanafi sama ada ustaz ini terdiri daripada keturunan Panglima Tok Rashid, kerana Tok Rashid semasa menyerahkan silat ini kepada Pak Yah ada berkata , “Sekiranya ada anak cucu aku dari Kedah datang mengambil silat ini, maka serahnya balik kepadanya”. Pak Yah sendiri mengatakan bahawa inilah pertama kali dia menjiruskan mandi penamat kepada muridnya. Pada masa itu juga baru Pak Yah menyatakan nama sebenar silat ini, iaitu Silat Cekak.

Pak Yahlah yang telah memberitahu salahsilah perguruan silat ini, iaitu beliau mengambil silat itu dari Panglima Tok Rashid, iaitu seorang panglima kerajaan negeri Kedah yang telah berpindah ke Kerian, Taiping, Perak kerana daerah Sungai Daun tempat tinggalnya pada masa itu diserang wabak taun . Tok Rashid memberitahu Pak Yah bahawa beliau mengambil silat ini daripada Panglima Ismail yang menjadi panglima negeri Kedah pada zaman Sultan Ahmad Tajuddin. Dengan siapa Panglima Ismail mengambil silat ini tidak pula diriwayatkan .

Selepas tamat mempelajari silat ini, Ustaz Hanafi telah diijazahkan sebagai guru, dan diberi mandat untuk mengembangkan silat ini ke seluruh negara. Manakala Pak Yah ke Batu Kurau dan tidak aktif lagi dalam mengajar Silat Cekak ini. Silat Cekak telah terus dikembangkan atas nama Silat Cekak atau Silat Kedah di bawah PSSBSK dan Ustaz Hanafi sendiri menjadi ketuanya. Walaupun terdapat halangan dan tentangan beliau terus mengembangkan silat ini ke Sg. Petani dan ke Seberang Perai.

Beliau seterusnya berhijrah ke Kuala Lumpur dan membuka kelas Silat Cekak melalui Persatuan Bawean Putra. Pada tahun 1971, beliau telah mengerakkan Silat Cekak ini menerusi persatuan pada peringkat kebangsaan yang telah diiktirafkan atas nama Persatuan Seni Silat Cekak Kedah Malaysia. Nama persatuan ini kemudian ditukar kepada Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM). PSSCM merupakan penggerak utama Silat Cekak pada masa itu. Disamping digerakkan melalui kelab dan persatuan yang ditubuhkan dipusat-pusat pengajian tinggi.

Matlamat utama PSSCM ialah untuk mendaulatkan silat melayu dan menentang segala ilmu tahyul dan khurafat dalam silat melayu. Berdasarkan kedua-dua matlamat ini, Ustaz Hanafi telah mengembangkan Silat Cekak ini. Beliau telah membuat kajian dari segi kaedah pelajaran dan amalan-amalan yang terdapat dalam Silat Cekak supaya ia benar-benar bersih dan murni dari segi dua aspek. Pertama, dari aspek kaedah pelajarannya, silat ini benar-benar warisan melayu dan segala pergerakannya tidak membahayakan pengamalnya. Kedua dari segi aspek kefahaman dan falsafah persilatan, yang berteraskan semangat tauhid. Beliau telah banyak membawa pembaharuan dalam silat ini. Misalnya dari segi pengajaran, pendekatan, penonjolan imej silat serta pengurusan silat yang terbuka lagi moden. Hasilnya, Silat Cekak dapat berkembang dengan pesat dan mendapat sambutan hebat daripada mahasiswa dipusat-pusat pengajian tinggi .

Sesungguhnya, pengisian yang terdapat dalam Silat Cekak semasa beliau meninggal dunia 13 Ogos 1986 adalah jauh berbeza dari yang diterima daripada Pak Yah. Segala ilmu-ilmu ketuhanan yang dipelajarinya daripada guru-gurunya yang lain telah diadun dengan jayanya ke dalam ilmu silat yang diambil dari Pak Yah untuk menjadi wadah membentuk peribadi yang unggul bagi pengamal-pengamal Silat Cekak. Semasa beliau menghembuskan nafas yang terakhir beliau tidak menamakan sesiapapun dikalangan penuntut Silat Cekak sebagai penggantinya. Para pendukung silat telah menunggu sempat puluh hari untuk menamakan guru utama Silat Cekak. Dalam satu majlis yang dihadiri oleh pendukung yang termasuk Ahli Lembaga Pelajaran dan Tatatertib (Badan tertinggi yang mentadbir Silat Cekak semasa hayat Ustaz Hanafi) balu Allahyarham dan anak-anak beliau, telah mengisytiharkan Encik Ishak bin Hitam sebagai guru utama Silat Cekak pada masa itu. Pengisytiharan Encik Ishak berdasarkan bahawa Ustaz Hanafi telah memberi amanah kepada beliau untuk mengambil mandat perguruan, sementara anak-anaknya cukup umur dan menjaga semua keluarga Ustaz Hanafi dengan baik.

Ishak Bin Itam
Encik Ishak menjadi Guru Utama bermula dari tahun 1986 hingga 1993. Pada 19Mei 1993 Encik Ishak menyerahkan mandat perguruan Silat Cekak ini kepada Md Radzi Bin Haji Hanafi, anak keempat kepada Allahyarham Ustaz Hanafi. Penyerahan mandat ini telah dilakukan secara empat biji mata dan disokong oleh dokumen hitam putih yang ditandatangani sendiri dengan rela hati dan didalam keadaan sedar oleh Encik Ishak dan Encik Md Radzi .

Majlis pendukung yang mengisytiharkan Encik Ishak menjadi guru utama pada tahun 1986 telah dipanggil bersidang pada 21 Mei 1993 dan menimbang kes penyerahan mandat perguruan yang dibawa oleh ahli keluarga Ustaz Hanafi dan didapati benar dan dilakukan dengan sewajarnya tanpa unsur-unsur paksaan, dan mengisytiharkan Md Radzi bin Haji Hanafi sebagai Guru Utama Silat Cekak. Namun Begitu sebilangan besar pentadbir Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia ketika itu gagal untuk menjalankan tanggungjawab mereka untuk menerima Encik Md Radzi sebagai Guru Utama Silat Cekak. Mereka telah cuba menghalang Encik Md Radzi dari menjalankan fungsinya sebagai Guru Utama dengan mengunakan kedudukan masing-masing dalam persatuan.


Encik Md Radzi bin Haji Hanafi


Pada 5 Ogos 1994, Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia telah ditubuhkan. Persatuan ini telah mengiktiraf Encik Md Radzi bin Haji Hanafi menjadi Guru Utama dan menjadikan persatuan ini sebagai jentera utama pergerakan Silat Cekak. Sejak itu Silat Cekak telah dikenali sebagai Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi. Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi merupakan Silat Cekak yang benar-benar diamalkan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi.

Silat Cekak telah diasas dan dilahirkan kembali oleh pemimpin Agung,  Allahyarham Ustaz Hanafi Bin Hj Ahmad  pada  tanggal 5 Ramadan 1385 bersamaan 28 Disember 1965. Silat ini berasal dari Kedah dan berdasarkan dari cerita guru ke guru silat ini pernah digunakan oleh panglima panglima kanan istana di zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin  II .
Salasilah Silat
Bernaung di bawah Perkumpulan Sari Budaya Negeri Kedah pada tahun 1963, Silat Cekak  kemudiannya bergerak di bawah nama Persatuan Bawean Putra pada tahun 1970, Persatuan Seni Silat Kedah Malaysia tahun 1975, Persatuan Seni Silat Cekak  Malaysia dan Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia sejak 1994.

Subscribe via email

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner