Biodata Pewaris Mutlak Silat Cekak

Guru Utama


PEWARIS MUTLAK SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA
YM TUAN HAJI SHEIKH MD RADZI BIN HAJI HANAFI AL-QADAHI
Menerima mandat sebagai Guru Utama Silat Cekak pada 19 Mei 1993. Penyerahan mandat ini telah diperakui kesahihannya oleh Majlis Muafakat Tertinggi (MMT) Silat Cekak pada 21 Mei 1993 manakala pengistiharan sebagai Guru Utama Silat Cekak disempurnakan pada 23 Mei 1993 .
Bak kata pepatah,
”ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke  nasi’,
Perumpamaan orang melayu itu tepat bagi beliau. Dengan ini beliau dapat mengorak langkah lebih jauh lagi dalam usaha meneruskan perjuangan dan cita-cita bapanya untuk mendaulatkan seni pusaka bangsa melayu. Anak keempat Allahyarham Ustaz Hanafi Haji Ahmad dan Puan Maimunah binti Othman ini telah dilahirkan pd 3 Ogos 1961 di Batu 3 ¾ , Jalan Gunung, Alor Setar, Kedah Darul Aman. Mendapat pendidikan formal sekolah rendah dan menengah  di Alor Setar dan Kuala Lumpur manakala pendidikan agamanya diterima terus daripada Allahyarham Ustaz Hanafi Haji Ahmad sendiri. Beliau telah mempelajari Silat Cekak pada usia 18 tahun. Kefahaman dan didikan agama diperolehi dari bapanya. Menerima Sijil Rendah Persilatan Silat Cekak pada tahun 1980 dan Sijil Menengah Silat Cekak pada tahun 1987.Beliau juga turut mempelajari bidang  perubatan tradisional daripada bapanya. Yang Mulia Tuan Guru Haji Md Radzi Haji Hanafi telah mendirikan rumahtangga dengan Puan Masita Binti Mohd Salleh,yang berasal dari Johor Bahru, Johor pada tahun 1990. Mereka kini dikurniakan 4 orang cahaya mata iaitu dua orang anak lelaki dan dua anak perempuan. Pengaulannya yang luas dengan ahli silat yang lebih dewasa, penelitian yang mendalam ketika Ustaz Hanafi Haji Ahmad mengajar Silat Cekak dan pembabitannya dalam kebanyakan aktiviti Silat Cekak sejak kecil, memupuk minat dan penghayatan Yang Mulia Tuan Guru Haji Md Radzi Haji Hanafi terhadap dunia persilatan.

Yang Mulia Tuan Guru Haji Md Radzi Haji Hanafi mula berkhidmat secara sepenuh masa mengajar Silat Cekak sejak tahun 1981. Beliau juga diberi kepercayaan menjadi penyelia kelas di Selangor, Terengganu dan Johor. Bakat kepimpinannya terselah apabila beliau diberi tanggungjawab menerajui cawangan Silat Cekak di negeri Johor Darul Takzim. Melalui kepimpinan Yang Mulia Tuan Guru Haji Md Radzi Haji Hanafi, kini Silat Cekak telah berkembang di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dan banyak mendapat penghargaan dan pengiktirafan daripada kerajaan. Pada 18 Julai 2005 YM Tuan Guru Haji Md Radzi Bin Hj Hanafi telah menerima ‘ Anugerah Gagah Perkasa ‘ daripada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XII, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail  sempena perhimpunan Rakan Wajadiri 2005, Beliau akan terus memastikan Silat Cekak terus berkembang bagi memastikan pusaka warisan bangsa ini kekal walaupun di zaman moden ini.

Subscribe via email

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner